Pendidikan Imam Malik

Sejak kecil lagi minatnya terhadap ilmu sudah disemai dalam jiwanya. Beliau telah menghafal ayat-ayat al-Quran dan hadis semenjak kecil dan mendapat pendidikan di Kota Madinah daripada beberapa orang ulama terkenal di sana. Guru pertama beliau adalah Abdul Rahman bin Hamzah iaitu seorang ulama besar Madinah yang telah memberi pendidikan kepada beliau selama lapan tahun. Akibat dari kecerdasan akalnya yang luar biasa, beliau pernah menghafal 29 buah hadis daripada 30 buah hadis yang dibacakan oleh gurunya dalam satu hari sahaja. Beliau pernah belajar daripada 900 orang guru dari kalangan tabiin dan tabi’ tabiin. Imam Malik banyak menimba ilmu pengetahuan di Kota Madinah yang pada masa itu menjadi pusat pengajian ilmu, khususnya ilmu agama.